Friday, March 21, 2008

Suzana tak malu lagi keluar rumah

Oleh Zuliaty Zulkiffli


KELUAR: Suzana bersiar-siar di halaman rumahnya sambil ditemani Dr Rozmey setelah terperap selama lima tahun di dalam rumah.

Berat badan susut 40kg selepas ikuti program diet seimbang Dr Che Rozmey


KUALA KEDAH: Suzana Md Noor, 30, yang pernah memiliki berat badan mencecah 230 kilogram (kg) dan hanya berkurung di rumah sejak lima tahun lalu kini mula keluar rumah selain mampu berdiri berbanding dulu.

Sejak berat badannya susut 40kg dalam masa 40 hari, beliau bertambah yakin meneruskan diet seimbang seperti yang disarankan Penyelidik Obesiti dan Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Pusat Perubatan Jitra, Dr Che Rozmey Che Din.

Beliau yang kini memiliki berat badan 190 kg mahu melupakan kenangan pahit memiliki tubuh besar sejak di bangku sekolah lagi.

"Sejak dulu, saya gagal menurunkan berat badan walaupun sudah mencuba pelbagai produk pelangsing badan di pasaran membuatkan saya hampir putus asa disebabkan berat badan yang semakin bertambah.

"Bagaimanapun, sejak menggunakan produk Dr Rozmey, impian untuk kurus semakin cerah kerana tidak perlu melakukan pembedahan, senaman atau suntikan dan yang penting adalah sabar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Putra, dekat sini, semalam.

Suzana berkata, walaupun sudah mampu keluar rumah, namun masih takut pergi jauh kerana bimbang perubahan dirinya selain mahu membiasakan diri terlebih dulu.

Beliau juga serik memiliki tubuh besar seperti dulu dan disebabkan itu terpaksa mengurangkan makan nasi serta lauk selain minum banyak air suam setiap hari.

"Ibu banyak membantu dan memberi sokongan dan saya gembira dengan perubahan ini. Saya juga takut untuk makan banyak seperti dulu kerana bimbang gemuk semula. Saya berazam mengurangkan berat badan bawah 100 kg kerana mahu bergaya seperti orang lain," katanya.

Katanya, beliau kini sudah mampu menggunakan lima meter kain untuk dibuat baju kurung berbanding sebelum ini iaitu enam meter.

Beliau berkata, ukuran lilitan pinggangnya pula kini mencecah 152 sentimeter (cm) berbanding 160 cm bulan lalu.

"Sebelum ini, saya tidak datang haid hampir lima tahun dan ia amat membimbangkan. Sebagai wanita saya bimbang apa yang akan berlaku jika berkahwin kelak.

"Bagaimanapun, segala-galanya berubah apabila saya datang haid seperti orang lain dan saya bertambah yakin dengan diri saya," katanya.

Ibunya, Saadiah Morad, 47, berkata, anak perempuan sulung tiga beradik itu turut membantunya membuat kuih setiap hari sebelum keluar berniaga setiap hari.

Katanya, sebelum ini sudah lebih RM10,000 dihabiskan untuk membeli produk pelangsing badan untuk Suzana menggunakan wang simpanan hasil jualan kuih tetapi gagal.

"Dia bertambah yakin dengan dirinya sehinggakan turut menambah pendapatan menjual produk Jus Diet Mate 5 ini untuk mencari wang saku untuk membantu menyara keluarga memandangkan dua adiknya tinggal berjauhan dari kami," katanya.

1 comment:

Ogy said...

Tahniah!!! diatas kejayaan semua yang terlibat dalam usaha ini.

Terbukti